PP-MAKLUMAN

Kesemua TAJUK dan juga ISI didalam blog ini adalah diambil daripada SUMBER yang telah Pure Pearl sertakan disetiap post. Manakala sebahagian daripada GAMBAR yang berada disetiap post diambil daripada sumber tersebut dan juga daripada sumber internet (hanya sekadar hiasan).- Harap maklum.


Thursday, June 25, 2009

Mesir malukan Itali

PARA pemain Mesir meraikan kejayaan Mohamed Homos (12) menjaringkan gol kemenangan untuk Mesir ke atas juara dunia, Itali dengan melakukan sujud di atas padang pada persaingan kumpulan B, Piala Konfederasi di Stadium Ellis Park, Johannesburg, Afrika Selatan, kelmarin. - AP


JOHANNESBURG - Mesir berjaya memalukan juara dunia, Itali 1-0 yang terus tertekan jika tersingkir daripada Piala Konfederasi berikutan prestasi terumbang-ambing mereka.

Mohamed Homos merupakan wira pasukan Mesir selepas melakukan jaringan menerusi tandukan pada minit ke-40 yang sudah cukup untuk memberikan mereka kemenangan di hadapan 51,000 penyokong dan perlu berterima kasih di atas ketangkasan penjaga gol, Essam al-Hadary yang menyelamatkan beberapa percubaan.

Mesir dan Itali berkongsi mata dengan masing-masing mengumpul tiga mata dalam Kumpulan B dengan Mesir menjadi pasukan pilihan untuk mara ke separuh akhir.

Mereka akan menentang Amerika Syarikat esok sementara Itali akan bertemu Brazil, yang perlu mencatatkan kemenangan.

"Kami sangat berbangga kerana ini ialah kemenangan ke atas juara dunia.

"Kami beraksi dengan penuh taktikal dan tumpuan kami begitu tinggi. Kami beraksi dengan baik berbanding mereka sepanjang 90 minit dan ini akan tercatat sebagai sebahagian dari sejarah Mesir," kata penolong jurulatih, Shawky Gharib.

Jurulatih Itali, Marcello Lippi yang kecewa berkata, pasukannya bermula dengan baik tetapi tidak melakukan seperti apa yang dirancang.

"Kami bermula dengan baik di mana saya rasa kami telah melakukan yang terbaik dan mencipta beberapa peluang. Saya rasa perlawanan tersebut seimbang.

"Bagaimanapun kami tidak begitu agresif atau tidak mampu menyempurnakan peluang. Kami tidak mengambil inisiatif. Saya menjangkakan perkara ini akan berlaku dengan berbeza tetapi kami tidak menggunakan kesempatan yang ada," katanya.

Jurulatih Mesir, Hassan Shehata berkata, sebelum perlawanan mereka sudah bersedia untuk menghadapi risiko dan pasukannya berada dalam keadaan yakin selepas berjaya memberi tentangan sengit kepada Brazil walaupun tewas 4-3.

Juara Piala Afrika itu hanya melakukan satu pertukaran dari perlawanan pertama dan ia membuahkan hasil, apabila Homos menggantikan ketua pasukan, Ahmed Hassan yang berusia 35 tahun.

Lippi kembali menurunkan ketua pasukan Fabio Cannavaro, yang terlepas perlawanan pertama ketika Itali mengalahkan Amerika Syarikat, 3-1 kerana mengalami kecederaan betis, menyaksikan bintang Real Madrid itu diganti Nicolas Legrottaglie.

Terdapat dua lagi perubahan yang dilakukan dengan Fabio Quagliarella dimasukkan mengganti Mauro Camoranesi sementara Giuseppe Rossi, yang menjaringkan dua gol pada perlawanan pertama Isnin lalu menggantikan Alberto Gilardino.

Perlawanan bermula dengan pantas dengan pertahanan AC Milan, Gianluca Zambrotta melakukan percubaan pertama buat Itali selepas tujuh minit perlawanan berlangsung tetapi ia tidak mengancam El Hadary.

Penyerang Villarreal yang berasal dari Amerika Syarikat, Rossi melakukan percubaan dengan menyaksikan rembatan deras yang dilakukannya sekadar melintasi palang gol tatkala Itali tidak putus-putus membuat serangan.

Bagaimanapun Mesir turut mempunyai peluang, melalui Mohamed Aboutrika yang memberi masalah dalam petak penalti Itali.

Itali dilihat mampu untuk membuka jaringan apabila pemain Juventus, Vincenzo Iaquinta dan Rossi melakukan percubaan bagaimanapun Al-Hadary sekali lagi menjadi penghalang.

Bagaimanapun Mesir, membalas serangan tersebut seterusnya menghasilkan jaringan melalui Homos yang melompat tinggi menanduk bola sepakan sudut dari Aboutrika untuk menewaskan penjaga gol Itali, Gianluigi Buffon.

Itali yang sebelum ini juga pernah ketinggalan terlebih dahulu ketika bertemu Amerika Syarikat kembali menyerang untuk mencatat kemenangan dan mereka memulakan aksi separuh masa kedua dengan permainan pantas.

Mereka mampu untuk menyamakan kedudukan apabila Iaquinta yang tidak dikawal dalam petak penalti mempunyai peluang terbaik, bagaimanapun kawalannya agak lemah dan Al-Hadary sembat menyambar bola tersebut.

Lippi memasukkan Luca Toni menggantikan Rossi tetapi Itali tidak mampu untuk menembusi penjaga gol, Al-Hadary yang begitu tangkas di gawang, menyelamatkan percubaan demi percubaan untuk memastikan pasukannya sentiasa berada di depan.

Itali mempunyai satu lagi peluang terakhir untuk menyamakan kedudukan tetapi pemain AC Milan, Andrea Pirlo gagal melakukan sepakan percuma dengan baik untuk menjadikan malam yang menakutkan buat Itali dan paling diingati buat Mesir. - AFP


Sumber - Berita Harian

0 comments:

 
.:| PURE PEARL |:. © 2009 | Designed by Sarani ©