PP-MAKLUMAN

Kesemua TAJUK dan juga ISI didalam blog ini adalah diambil daripada SUMBER yang telah Pure Pearl sertakan disetiap post. Manakala sebahagian daripada GAMBAR yang berada disetiap post diambil daripada sumber tersebut dan juga daripada sumber internet (hanya sekadar hiasan).- Harap maklum.


Tuesday, July 21, 2009

Harry Potter atasi rekod Spider-Man

TIGA pelakon utama Harry Potter (dari kiri) Rupert Grint, Emma Watson dan Daniel Radcliffe semasa tayangan perdana filem Harry Potter and the Half-Blood Prince di London, 7 Julai lalu. - AFP

LOS ANGELES 20 Julai - Harry Potter berjaya memukau penggemar filem seluruh dunia dalam kemunculan keenamnya di francais khayalan yang mencatatkan rekod terbaru bernilai AS$396.7 juta (RM1.4 bilion), ia satu petanda jelas menunjukkan siri itu masih belum kehilangan magiknya.

"Filem Harry Potter and the Half-Blood Prince meraih AS$159.7 juta (RM565.6 juta) di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada, pembukaan keenam terbesar bagi tempoh lima hari tayangan," kata pengedar Warner Bros. Pictures semalam.

Kutipan peringkat antarabangsa meraih AS$237 million (RM839.3 juta) dari 84 pasaran, juga mencatatkan rekod terbaru.

Rekod lama dipegang oleh Spider-Man 3 pada 2007 apabila kutipan globalnya berjumlah AS$381.7 juta (RM1.35 bilion) termasuk jualan luar bernilai AS$230.5 juta (RM818.2 juta).

Di Amerika Utara, filem terbaru itu mengatasi filem terdahulunya, Harry Potter and the Order of the Phoenix yang mengutip $139.7 juta (RM495.9 juta) pada dua tahun lalu.

Filem tersebut yang telah menamatkan tayangannya dengan AS$938 juta (RM3.33 bilion) di seluruh dunia dan merupakan filem ketujuh terbesar sepanjang zaman tidak termasuk inflasi.

Walaupun jumlah kutipan filem tersebut selama lima hari sungguh menakjubkan, ia adalah lebih kecil daripada Transformers: Revenge of the Fallen yang mendapat AS$200 juta (RM710 juta) pada bulan lalu, hanya AS$3.8 juta (RM13.5 juta) ketinggalan dari rekod tahun lalu oleh filem The Dark Knight.

Pasaran-pasaran antarabangsa teratas bagi filem terbaru itu termasuk Britain dengan AS$32.4 juta (RM115 juta), Jerman AS$23 juta (RM81.6 juta), Perancis AS$20.2 juta (RM71.7 juta) dan Jepun AS$18.2 juta (RM64.6 juta).

Isu besar yang timbul adalah sama ada filem baru ini akan menjadi yang pertama dalam francais memecahkan tradisi dengan meraih AS$1 bilion (RM3.55 bilion).

Filem terbesar di kedudukan pertama adalah Harry Potter and the Sorcerer's Stone pada 2001 yang berakhir dengan AS$975 juta (RM3.46 bilion), merupakan filem kelima terbesar sepanjang zaman. - REUTERS


Sumber : Utusan Malaysia

0 comments:

 
.:| PURE PEARL |:. © 2009 | Designed by Sarani ©