PP-MAKLUMAN

Kesemua TAJUK dan juga ISI didalam blog ini adalah diambil daripada SUMBER yang telah Pure Pearl sertakan disetiap post. Manakala sebahagian daripada GAMBAR yang berada disetiap post diambil daripada sumber tersebut dan juga daripada sumber internet (hanya sekadar hiasan).- Harap maklum.


Friday, July 31, 2009

Meneroka kreativiti tempatan

Oleh SUBASHINI RAJANDRA

subashini.rajandra@kosmo.com.my

Di bawah projek bersepadu yang dilancarkan oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dengan Apple Inc., mereka yang ingin menunjukkan kemahiran dan kreativiti masing-masing dalam mereka perisian atau aplikasi bertaraf dunia dipelawa menyertai projek ini.


IPHONE, iPod dan Internet, apakah persamaan antara setiap subjek itu? Sudah tentu The App Store yang terdapat dalam ketiga-tiga aplikasi berkenaan. Mengapa? Ini kerana dengan The App Store, pengguna boleh memuat turun pelbagai perkara termasuk ratusan dan ribuan aplikasi program menarik.

Tidak kira permainan telefon, infografik saham, pencarian restoran makanan kegemaran, filem terkini atau memperoleh lagu-lagu terhebat di carta muzik, anda pasti tidak akan kecewa dengan aplikasi-aplikasi yang disediakan dari seluruh dunia.

Daripada kumpulan remaja, keluarga, pendidik, kakitangan korporat, usahawan sehinggalah blogger yang suka mengembara, iPhone semestinya teman setia anda. Manakan tidak, aplikasi-aplikasi ini memudahkan kehidupan seharian anda dengan memperoleh data dan informasi tepat pada caj harga yang berpatutan.

iPhone sememangnya sebuah gajet yang disukai ramai termasuk warga muda dan korporat.

Diperkenalkan oleh Apple Inc., The App Store mempunyai kepantasan penghantaran program yang tiada tandingan, selain membuka lebaran baru dalam dunia pelayaran Internet.

Seperti yang dinyatakan tadi, aplikasi ini boleh diperoleh dari serata dunia dan Malaysia tidak ketinggalan untuk menampilkan kelebihannya. Meskipun tidak begitu besar, sekumpulan pereka perisian tempatan telah mengambil keputusan untuk terjun ke dalam bidang tersebut bagi membawa aplikasi semasa yang trendy dan berguna.

Di bawah projek bersepadu yang dilancarkan oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), mereka yang ingin menunjukkan kemahiran dan kreativiti masing-masing dalam mereka aplikasi bertaraf dunia dipelawa menyertai projek itu.

Sebagai permulaan, inisiatif ini tertumpu pada iPhone yang seperti mana anda sedia maklum, ia merupakan sebuah gajet yang menerima permintaan tinggi di pasaran. Lebih-lebih lagi, apabila ada kajian membuktikan bahawa dalam masa kurang setahun, The App Store berjaya mencatatkan jualan satu bilion aplikasi.

Jason Khong, yang baru memperoleh Ijazah Sains Komputer dari Universiti Monash, Sunway, Petaling Jaya, menyumbang salah satu daripada aplikasi itu yang dikenali sebagai The Mistletoe App pada hujung tahun lalu. Bersempena dengan sambutan Hari Krismas, Jason memilih untuk menghasilkan sebuah perisian yang tidak terlalu kompleks.

"Ia adalah salah satu projek yang menyelitkan elemen keseronokan daripada memikirkan aktiviti yang terlalu berat. Selepas aplikasi ini diterima dan diluluskan oleh Apple, saya menimbang semula penyediaan perisian lain yang bersifat serius dan penting dalam jangka masa panjang," jelasnya ketika ditemui Kosmo! di ibu kota.

APLIKASI olok-olok Kosmo! yang ditunjukkan oleh Jason Khong.

Jason yang terlibat secara aktif dalam menyediakan perisian bagi projek-projek peribadi yang lain kini mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat tempatan yang berminat untuk mengeksploitasi peluang pemasaran yang wujud di The App Store.

The App Store bukan hanya terhad pada satu-satu topik atau kategori tertentu. Tetapi sekiranya anda seorang yang berpandangan jauh, ia boleh mempelbagaikan pendekatan perniagaan dalam era baru penyampaian teknologi komunikasi maklumat. Sebab itulah, Jason kini hangat membangunkan aplikasi iPhone yang berkait rapat dengan industri amanah saham.

Oleh kerana Jason berasal dari latar belakang dunia pengkomputeran, dia tidak mengambil sebarang kursus tambahan. Dia mula 'berjinak' dengan simulator yang disediakan sebaik mendaftarkan diri. Menggunakan Kit Perisian Pembangunanan atau SDK, sesebuah aplikasi itu diusahakan melalui kod arahan khas yang ditetapkan.

Simulator itu juga memberi gambaran sebenar berhubung bentuk dan paparan aplikasi di atas iPhone setelah dimuat turun di The App Store. Bagi yang berminat tetapi tidak mempunyai pengalaman atau ingin mengasah bakat dalam bidang ini, anda boleh mendaftar dengan ICONapps dari MDeC.


Setiap peserta akan mempelajari dan menjalani latihan pembangunan aplikasi pada peringkat yang berlainan, bergantung tahap pencapaian masing-masing. "Saya cukup teruja dengan projek ini kerana ia mendedahkan diri kepada situasi persaingan yang sihat. Saya tahu selok-belok penerimaan pengguna Internet di pasaran luar, di samping mempertaruhkan produk yang lebih berkualiti dan jitu," ujarnya yang tidak bimbang mengenai soal jual dan beli kerana ia dikendalikan oleh syarikat induk.

Di The App Store, sesetengah daripada aplikasi ditawarkan secara percuma manakala selebihnya dikenakan bayaran rendah dalam pertukaran mata wang Amerika Syarikat. Cara memuat turun juga mudah sebaik sahaja pengguna melakukan bayaran menggunakan kad kredit.

"Masih banyak muda-mudi tidak mengetahui tentang kebaikan program ini dalam membina sebuah platform yang mampu melonjakkan dunia teknologi komunikasi," ujar Jason yang menggalakkan pereka perisian tegar dan amatur merebut peluang keemasan itu.

"Di negara luar, pelbagai perisian membanjiri laman Internet yang dihasilkan menerusi minat yang ditunjukkan oleh pereka cipta program komputer," tambahnya.

INILAH Kit Perisian Pembangunanan atau SDK untuk mereka perisian bagi The App Store.

Menurut Jason, sambil menonjolkan bakat terpendam, kita perlu mengisi kewujudan vakum di arena tempatan bagi memenuhi perisian berjiwa Malaysia.

"Dengan ini, kita tidak terlalu bergantung kepada entiti luar atau import," ujar Jason yang berharap mereka yang suka menghabiskan masa bermain berjam-jam di depan komputer menggunakan cara terbaik ini untuk menjana pendapatan.



Sumber : Kosmo

0 comments:

 
.:| PURE PEARL |:. © 2009 | Designed by Sarani ©